Saturday, April 26, 2008

Tragedi Menyayat Hati Di Kemaman.....

KUALA TERENGGANU, 22 April (Bernama) -- Polis menemui mayat seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu selepas memberkas seorang lelaki di perkarangan sebuah chalet di Cherating, Pahang, awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata penahanan lelaki berumur 27 tahun pada kira-kira pukul 2.30 pagi semalam itu, membawa kepada penemuan mayat Zaiton Muhamad, 55, yang ditanam di sebuah tapak semaian.

Katanya polis kemudiannya dibawa ke jambatan Geliga di Kemaman, di mana kad pengenalan serta lesen memandu milik Zaiton ditemui dalam sebuah parit di tepi sungai berkenaan.

Menurutnya lelaki yang berkerja sebagai pemandu jengkaut Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) seterusnya membawa polis ke satu lagi tapak semaian di Kampung Bukit Takar, Ibok, Kemaman dan hasil pemeriksaan, polis menemui mayat Zaiton yang dibaluti dengan kain dan ditanam sedalam kira-kira 0.6 meter.

"Bahagian muka, mata, hidung dan mulut Zaiton didapati pecah, dipercayai dipukul pada hari beliau dilaporkan hilang pada 16 April lepas," katanya kepada pemberita selepas melawat Taman Sinar Harapan sempena Hari Polis ke-201 di sini hari ini.

Beliau berkata mayat itu sudah dihantar ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat.

Dua hari lepas, sebuah akhbar melaporkan misteri kehilangan wanita yang berkerja sebagai pemandu van sekolah itu, selepas kali terakhir dilihat membeli barang di sebuah kedai runcit berhampiran rumahnya di Chukai kira-kira pukul 10.30 pagi pada hari kejadian.

Jalaluddin berkata lelaki yang berasal dari Kampung Gong Limau, Kemaman itu yang pernah ditahan kerana terbabit dengan kes dadah dan peras ugut, kini ditahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata dengan tangkapan lelaki berkenaan yang mempunyai pertalian keluarga dengan Zaiton, polis menemui semula tiga bentuk cincin, seutas rantai tangan dan wang tunai berjumlah RM480 dipercayai milik mangsa.

Katanya polis juga akan menahan isteri suspek bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu. Pasangan suami isteri itu didapati menyewa rumah Zaiton sejak tiga bulan lepas.

Sementara itu di Kemaman, polis hari ini mendapat perintah tahanan reman sehingga 29 April ini terhadap seorang kakitangan MPK bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan itu.

-- BERNAMA

No comments:

I heart FeedBurner