Monday, September 20, 2010

Dunia adalah tempat.....


Di hari raya, Aku sempat duduk depan komputer, buka Microsoft word, dan menulis:

“Dunia adalah tempat...”

Belum sempat aku habiskan ayat, terdengar salam dari luar rumah, kawan datang beraya rupanya, aku tinggalkan computer dan sambut kawan aku dengan senyuman dan jemput mereka berlabuh diruang tamu.

Isteriku membancuh air minuman sambil aku membuka tudung kuih raya.

Tahu apa yang kami borakkan?

Tak ada topik menarik, perbualan sekitar mengemaskini harta masing-masing.

Apa kerja sekarang? Anak berapa ramai? Bini sudah tambah ke? Kenapa masih pakai kereta lama? Ada beli tanah tak? Ada buat kerja tambahan tak? Bla bla bla..

Boring bukan?

Selepas tetamu yang suka update harta dunia itu pulang, aku kembali duduk depan computer dan menyambung apa yang belum habis ditulis…

“Dunia adalah tempat...”

Jari akupun menari-nari di keyboard yang ber layouts: "QWERTY"

“Dunia adalah tempat manusia mengumpulkan harta dan berbangga antara satu sama lain yang mana…”

Belum sempat aku habiskan ayat, terdengar salam dari luar rumah, kawan lain pula datang beraya, aku tinggalkan computer dan sambut kawan aku dengan senyuman dan jemput mereka berlabuh diruang tamu.

Isteriku kembali memperbaharui air minuman sambil aku membuka tudung kuih raya.

Tahu apa yang kami borakkan?

Tak ada topic menarik, perbualan sekitar mengemaskini kefahaman politik masing-masing.

Kau tahu tak?, siapa bunuh Altantuya? Kau tahu apa kaitan pembunuhan Datok X dengan parti Y? kau tahu kenapa PM buat rumah terbuka? Kau tahu kenapa Nik Aziz tak bangga jadi melayu? Kau tahu kenapa bonus hanya RM500?, sebenarnya duit tu, Bla bla bla..

Boring bukan?

Selepas tetamu yang suka update isu politik itu pulang, aku kembali duduk depan computer dan menyambung apa yang belum habis ditulis...

“Dunia adalah tempat manusia mengumpulkan harta dan berbangga antara satu sama lain yang mana…”

Jari akupun menari-nari di keyboard laksana bunyi hujan menimpa atap zink..

“Dunia adalah tempat manusia mengumpulkan harta dan berbangga antara satu sama lain yang mana dunia juga tempat manusia memilih untuk percaya dan mempertahankan apa yang dipercayai walaupun mereka mungkin salah kerana…”

Belum sempat aku habiskan ayat, terdengar lagi salam dari luar rumah, kawan lain pula datang beraya, aku tinggalkan computer dan sambut kawan aku dengan senyuman dan jemput mereka berlabuh diruang tamu.

Isteriku membuka tin susu pekat manis yang baru lalu memperbaharui air minuman sambil aku menambah kuih raya ke dalam bakas yang sudah terbuka tudungnya

Tahu apa yang kami borakkan?

Tak ada topic menarik, perbualan sekitar mengemaskini teknologi terkini.

Kau tahu tak?, Jepun sekarang sudah cipta alat X, Amarica pula cipta alat Y, Russia pula cipta alat Z, tapi Malaysia buat research entah apa-apa,

Agak menarik…,

Selepas tetamu yang suka update teknologi terkini itu pulang, aku kembali duduk depan computer dan menyambung apa yang belum habis ditulis..

“Dunia adalah tempat manusia mengumpulkan harta dan berbangga antara satu sama lain yang mana dunia juga tempat manusia memilih untuk percaya dan mempertahankan apa yang dipercayai walaupun mereka mungkin salah kerana…”

Jari akupun menari-nari di keyboard dengan pantas dan gigih

“Dunia adalah tempat manusia mengumpulkan harta dan berbangga antara satu sama lain yang mana dunia juga tempat manusia memilih untuk percaya dan mempertahankan apa yang dipercayai walaupun mereka mungkin salah kerana mereka ingin memiliki teknologi terkini yang akan…”

Belum sempat aku habiskan ayat, terdengar lagi salam dari luar rumah, kawan lain pula datang beraya, aku tinggalkan computer dan sambut kawan aku dengan senyuman dan jemput mereka berlabuh diruang tamu.

Isteriku memperbaharui air minuman sambil aku menjemput mereka makan kuih apa yang ada.
Tahu apa yang kami borakkan?

Tak ada topic menarik, perbualan sekitar hiburan tanah air dan antarabangsa.

Kau tahu tak?, Filem X menurut rotten tomatoes 98 markah, kena tonton filem ini, menurut imdb pula filem ini markahnya 8.5/10, Bla bla bla..

Boring bukan?

Selepas tetamu yang suka update movie itu pulang, aku kembali duduk depan computer dan menyambung apa yang belum habis ditulis…

“Dunia adalah tempat manusia mengumpulkan harta dan berbangga antara satu sama lain yang mana dunia juga tempat manusia memilih untuk percaya dan mempertahankan apa yang dipercayai walaupun mereka mungkin salah kerana mereka ingin memiliki teknologi terkini yang akan…”

Jari akupun menari-nari di keyboard dengan lebih pantas dan gigih..

“Dunia adalah tempat manusia mengumpulkan harta dan berbangga antara satu sama lain yang mana dunia juga tempat manusia memilih untuk percaya dan mempertahankan apa yang dipercayai walaupun mereka mungkin salah kerana mereka ingin memiliki teknologi terkini yang akan dapat menonton filem bermutu antarabangsa…”

Belum sempat aku habiskan ayat, terdengar lagi salam dari luar rumah, kawan lain pula datang beraya, aku tinggalkan computer dan sambut kawan aku dengan senyuman dan jemput mereka berlabuh diruang tamu.

Isteriku memperbaharui air minuman sambil aku menjemput mereka makan serdak kuih..

Tahu apa yang kami borakkan?

Satu isu yang menarik, bab akhirat, bab mayat, bab puasa enam.., bab bayi dalam perut dan kaitannya terhadap dunia, Bla bla bla

Aku tak boring, korang boring tak? ..(aku sorang jerlah lelaki beriman diakhir zaman kononnya)

Selepas tetamu yang suka bercerita tentang ugama itu pulang, aku kembali duduk depan computer dan menyambung apa yang belum habis ditulis..

“Dunia adalah tempat manusia mengumpulkan harta dan berbangga antara satu sama lain yang mana dunia juga tempat manusia memilih untuk percaya dan mempertahankan apa yang dipercayai walaupun mereka mungkin salah kerana mereka ingin memiliki teknologi terkini yang akan dapat menonton filem bermutu antarabangsa…”

Aku tekan Backspace banyak kali sehingga tiba ke permulaan ayat.

“Dunia adalah tempat…”

Dalam kepala aku tergambar apa yang aku borakkan dengan tetamu tadi, iaitu kisah manusia menyesal diakhirat lalu minta kepada Allah untuk kembali ke dunia tapi Allah tidak layan lalu mereka menangis sehingga keluar bijik mata.

Akupun menyambung tulis pada paparan Microsoft word itu.

“Dunia adalah tempat untuk membina akhirat”.

Akupun tekan butang 'X' pada bahagian atas sebelah kanan lalu Microsoft word bertanya pada aku dalam Bahasa English:-

“Do you want to save the changes to document1?”

Aku jawab, “yes” kerana aku setuju bahawa dunia adalah tempat untuk membina akhirat.

Sekian...

Ps: Selamat Hari Raya, dan Selamat Membina Akhirat.

No comments:

I heart FeedBurner